Artikel | Kembara Pencinta Haiwan

Share:

Fantasia

Siapa sangka seorang yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan mampu mengembara ke serata dunia? Ini adalah kisah tentang seorang pengawal keselamatan yang telah menjejakkan kaki ke 28 buah negara dan telah melihat dan mempelajari kehidupan dengan caranya yang tersendiri.

Petang itu saya tiba di hadapan pagar zink sebuah gudang barangan besi dan kejuruteraan di Jalan Kebun Shah Alam untuk menemuramah seorang wira yang tidak didendang. Saya memilihnya sebagai wira bukan semata-mata kerana kisahnya yang telah mengembara ke serata dunia tetapi lebih disebabkan sifat kasih sayangnya terhadap haiwan yang sungguh luar biasa.

Pintu zink gelangsar ditarik lalu kelihatan susuk seorang lelaki berusia lewat 40-an yang berkepala botak keluar dan tersenyum ke arah saya. 

Mat Rosmin Daud atau nama panggilannya Mie adalah anak kelahiran keluarga petani di Kampong Pasir Mas, Kelantan. Sejak muda lagi beliau telah menunjukkan sifat suka berhijrah dan mengembara untuk mempelajari kehidupan. Sebaik sahaja habis peperiksaan SPM pada tahun 1991, sementara menunggu keputusan peperiksaan, beliau dan rakannya telah pergi ke Johor Bahru untuk bekerja di sebuah kilang. Begitupun, motivasi utamanya bukanlah untuk mencari wang tetapi untuk menikmati kehidupan sebagai seorang peminat muzik rock yang pada ketika itu sememangnya merupakan zaman kegemilangan muzik rock di Malaysia.

Setelah mendapat keputusan SPM, beliau kemudian berhijrah ke Kuala Lumpur dan menuntut di sebuah universiti ternama bagi golongan ‘street smart’, University of Central Market. Itulah nama yang diberikan olehnya untuk kawasan Pasar Seni Kuala Lumpur dimana pada waktu itu, di situlah tempat anak-anak muda mempelajari selok belok kehidupan, bersosial dan meluaskan jaringan kawan-kawan. Kerja pertama beliau di Kuala Lumpur adalah sebagai pengawal keselamatan di Wisma MCA dan itulah pekerjaan yang setia bersamanya sehingga ke hari ini.

Sebaik sahaja menutup pintu gelangsar gudang, Mie masuk ke dalam kereta dan mengajak saya ke sebuah restoran berdekatan. Dalam perjalanan, saya bertanyakan perihal anjing-anjing liar dan kucing yang sering diberi makan. Mie bercerita tentang haiwan-haiwan yang disayanginya itu dengan penuh kesungguhan.

Menurut beliau, ada perbezaan diantara berbuat baik dengan manusia dengan berbuat baik dengan haiwan. Katanya, apabila kita berbuat baik pada haiwan, kita tidak akan menyimpan apa-apa perasaan di dalam hati kerana pemberian itu sememangnya ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Malah jika kucing yang diberi makan itu menggigit kita sekalipun, kita tidak akan terasa hati kerana kita tahu ia hanyalah haiwan dan sifatnya memang sebegitu.

Berlainan pula apabila kita berbuat baik dengan manusia. Adakalanya kita mengharapkan sesuatu dari sekecil-kecil senyuman atau ucapan terima kasih sehinggalah mengharapkan agar suatu hari nanti orang itu akan menolong kita apabila kita pula berada dalam kesusahan. Boleh jadi juga kita akan berkecil hati jika orang yang pernah kita tolong bersikap tidak baik dengan kita lalu menganggapnya sebagai orang yang tidak mengenang budi.

Mie berpendapat bahawa berbuat baik pada haiwan adalah latihan yang baik untuk kita berbuat baik kepada manusia. Beliau sentiasa membawa bekalan makanan kucing dan anjing di dalam motosikalnya sebagai persediaan jika beliau terjumpa haiwan yang kelaparan.

Mie dan haiwan
Mie bersuka ria bersama haiwan


Mungkin kerana sifat mencintai haiwan itu, beliau telah dimurahkan rezeki untuk pergi ke luar negara. Ia bermula pada tahun 2010 dimana beliau telah pergi ke Hamburg bersama kawan-kawan. Sejak itu, beliau mula berminat untuk mengembara lagi. Setiap kali ada jemputan rombongan, beliau tidak akan melepaskan peluang walaupun terpaksa pergi dengan orang-orang yang tidak dikenali kerana dari situ dia dapat belajar dan mengenali perwatakan manusia.

Sehingga artikel ini ditulis, beliau sudah pun pergi ke 28 buah negara, kebanyakannya negara-negara eropah dan timur tengah. Beliau banyak mempelajari selok belok kehidupan masyarakat di luar negara dan cuba memahami situasi setempat agar segala hal yang baik dapat diterapkan ke dalam diri dan masyarakat di negara sendiri.

Apabila ditanya bagaimana beliau boleh mampu untuk keluar negara dari segi kewangan, jawapan beliau sangat mudah, “berjimatlah”. Katanya, beliau tidak mempunyai sebarang hobi mahal. Kehidupan beliau sebagai pengawal keselamatan tidak mendesak beliau untuk berada pada status-status tertentu dimana beliau perlu berbelanja demi meletakkan diri pada tahap-tahap tertentu. Menjadi diri sendiri sesuai dengan keadaan semasa adalah lebih menyenangkan berbanding berbelanja demi mencipta satu ilusi kehidupan palsu. Beliau lebih banyak melakukan kerja lebih masa sebagai pengawal keselamatan kerana ia lebih baik daripada duduk berseorangan di rumah atau berpeleseran di gedung-gedung membeli belah.

Saya berseloroh dengan bertanyakan tentang perkahwinan. Mie yang masih bujang ini tersenyum. Katanya jika ada calon sudah pasti dia akan berkahwin. Wang bukan masalah kerana sekarang ini dia memang mempunyai cukup wang untuk berkahwin. “Cuma orangnya saja yang tiada.” katanya lalu ketawa.

Apapun, fokus beliau sekarang adalah lebih kepada kerja-kerja kebajikan. Baginya, sudah tiba masanya untuk beliau membantu manusia pula. Pendapatannya sebagai seorang pengawal keselamatan tidaklah sebanyak jutawan Ustaz Ebit Lew. Tetapi ia bukanlah satu penghalang untuk seseorang melakukan kerja kebajikan. Beliau bercadang untuk menulis sebuah buku tentang pengembaraannya ke luar negara dan diselitkan dengan selok-belok pengurusan wang. Hasil daripada jualan buku ini nanti akan disalurkan kepada insan-insan yang memerlukan bantuan. 

Pengawal keselamatan bernama Mie ini adalah bukti bahawa kehidupan bukanlah sesuatu yang stereotaip. Beliau berjaya membuktikan bahawa setiap dari diri kita sebenarnya mampu untuk mengubah status quo dengan kesungguhan, disiplin serta matlamat yang jelas. 

Ditulis oleh Ahmedfani dan disiarkan kali pertama di Majalah Fantasia Isu #1

Fantasia Artikel