Proses Melukis Kartun

Share:


Oleh Ahmedfani

Bagi memenuhi permintaan untuk melihat bagaimana proses melukis kartun, di sini saya tunjukkan langkah-langkah bagaimana saya menyiapkan sebuah kartun.

Langkah 1: Mencari Idea

Ini adalah langkah yang paling lama. Ia melibatkan aktiviti-aktiviti kehidupan harian seperti membaca, menonton, berbual dengan orang dan sebagainya. Sekiranya ada idea yang muncul, idea itu akan dicatit supaya tidak dilupai dan diperam didalam memori. Ia diperam sekurang-kurangnya beberapa jam jika masa tidak mengizinkan. Lebih lama ia diperam, idea itu akan lebih masak. Jadi sekiranya anda membaca kartun saya, ketahuilah bahawa idea itu bukan idea yang muncul baru-baru itu sahaja. Ia sudah disimpan untuk satu jangkamasa.



Langkah 2: Penulisan

Jika anda fikirkan bahawa kartun satu panel tidak memerlukan kemahiran menulis, di situ anda mungkin tersilap. Adakalanya kita mendapat satu idea yang sangat sukar untuk diterangkan dengan ayat yang pendek. Perlu diingat bahawa kartun satu panel tidak mempunyai banyak ruang untuk ayat yang panjang. Maka disinilah kemahiran penulisan diperlukan - bagaimana kita mahu menyampaikan mesej dengan ayat yang paling optimum. Biasanya saya akan save penulisan saya dalam apps pengurusan kartun-kartun saya iaitu Trello. Adakalanya saya terus menaipnya pada kanvas di Sketchbook.



Langkah 3: Lakaran

Lakaran kasar dibuat untuk kita menyusun susunan lukisan kartun tersebut. Susunan ini adalah berdasarkan aliran gerak mata pembaca yang kita mahukan - yang mana perlu dilihat dahulu dan yang mana pula perlu dilihat kemudian. Peraturannya mudah. Untuk kebanyakan kita yang membaca rumi, kita biasa melihat dari kiri ke kanan dan dari atas ke bawah. Tapi tidak semestinya perkara pertama yang perlu dilihat kita letakkan disebelah kiri dan atas. Kita boleh meletakkan watak atau objek lencongan (diversion) supaya mata penonton beralih kepada titik yang kita mahukan. Apapun susunan ini adalah berbentuk cadangan berdasarkan 'bagaimana kebiasaan orang melihat'. Saya tidak boleh mengawal bagaimana pembaca akan melihatnya.

Lakaran biru menunjukkan cadangan aliran mata untuk pembaca.

Langkah 4: Lukisan

Pada langkah ini, kita melukis dan menambahkan perincian (details) dengan bantuan lakaran kasar yang telah dibuat sebelum ini. Sukar untuk saya terangkan dengan lebih lanjut tentang langkah ini kerana apa yang perlu anda buat adalah melukis dan kemahiran melukis adalah suatu yang anda perlu latih setiap hari.


Langkah 5: Shading

Sebenarnya, boleh saja lukisan yang sudah siap tadi dibiarkan sebegitu saja. Tapi bagi saya, ia terasa kosong tanpa membuat shading. Tempat yang gelap perlulah digelapkan. Shading dapat membantu lukisan terlihat mempunyai kedalaman (depth). Amat jarang saya membuat rambut berwarna hitam kerana hitam adalah warna mati dan saya tidak mahu penglihatan pembaca mati pada rambut, tetapi ia perlu mati pada outline lukisan.


Jadi begitulah serba sedikit proses bagaimana saya melukis. Saya pasti ia tidak jauh beza dengan cara pelukis-pelukis yang lain. Sekiranya ada soalan, cadangan mahupun komen, anda boleh utarakan di bahagian komen di bawah. Jangan lupa untuk share posting ini sekiranya ia berguna untuk orang ramai. Kita jumpa lagi pada siaran yang akan datang.