Bagaimana Untuk Mendapatkan Idea Kartun

Share:



Oleh Ahmedfani

Idea biasanya datang sebelum saya melukis. Saya tidak melukis untuk mencari idea. Saya juga tidak hanya duduk menunggu untuk idea itu datang. Idea perlulah dicari. Terdapat banyak cara untuk kita peroleh idea.

1. Pengambilan (consumption)

Idea bukan tercipta dari kreativiti tetapi dari pengambilan kita. Apa yang kita ambil dari sekeliling adalah bahan mentah untuk kreativiti kita. Buku, TV, filem, berita, suasana sekeliling, kawan-kawan, pengalaman, pemerhatian dan sebagainya adalah bahan yang mempengaruhi penciptaan idea kita. Kita hanya perlu menghubungkan perkara-perkara ini untuk mencipta sebuah idea.

2. Otak yang menghubungkan

Pernah tak anda melihat awan dan anda rasa ia berbentuk seperi sesuatu objek? Tahniah. Otak anda berkemampuan untuk menghubungkan sesuatu. Gunakan cara berfikir sebegitu kepada semua perkara yang anda lihat, dengar dan ambil. Bayangkan ada hamster berlari dalam putaran sebuah mesin basuh. Bayangkan orang makan nasi pada dish satelit astro. Bayangkan rumah anda terbang kerana kelajuan kipas siling. Hubungkan elemen-elemen yang ada. Boleh anda hubungkan botol kicap, kangaroo dan Hatyai?

3. Kritikal

Kita perlu kritikal, seboleh-bolehnya kepada semua perkara, walau seremeh-remeh perkara seperti mengapa tisu ini lembut atau mengapa jalan itu membengkok dan sebagainya. Pernah seorang kawan bertanya kepada saya, "kenapa kau ada masalah dengan semua benda?". Tidak ada masalah sebenarnya. Ia bukan masalah kerana saya tidak terkesan apa-apa pun dengan perkara-perkara itu. Saya cuma cuba untuk tidak menerima perkara itu seadanya.

4. Tidur

Otak kita lebih sibuk daripada internet, kalau kita betul-betul menggunakannya. Kita akan letih walaupun apa yang hanya kita lakukan adalah berbaring di sofa. Di sinilah peranan tidur. Anda tidak dapat membayangkan keajaiban yang boleh dilakukan dengan tidur. Anda berkemungkinan bangun dengan idea yang lebih hebat. Atau anda mendapat perspektif baru tentang apa yang anda sedang fikirkan. Jadi, tidurlah.

Itulah empat cara untuk mendapatkan idea kartun. Jangan lupa share kartun anda bersama saya  di Instagram.